Adakah kita sedar yang 10 pertama bulan Zulhijjah mempunyai pelbagai kelebihan? Adakah kita cuba untuk mengetahuinya?
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan
daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari
pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada
hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya,
‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari
tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali
seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa
pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama
Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai
kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu
perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah
Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab
Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,
“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
1.
Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.
Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi
s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang
dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada
baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari
tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah.
Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan
ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis
qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia
meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata
keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah
akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.
3.
Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang
bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari
yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan
Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan
berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar
r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu
perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah
Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan
segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai
keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh
dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan
pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5.
Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti
solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan,
mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan
pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu
walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada
hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan
Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah
mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda
(kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar
(dia cedera atau mati syahid).
6. Disyariatkan bertakbir pada
beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama
selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara
berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir
bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang
menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10
Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13
Zulhijjah.
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan
ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13
Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t
mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus
ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8.
Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w
bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di
kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah
dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam
riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya
sehinggalah dia berkorban.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada
persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan
(ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan
oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu
sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya
kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan
(memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada
pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan
anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan
tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya
kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim
hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah,
mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat
pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di
sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan
melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang
mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan,
pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya
amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah
hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur,
menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri
kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.